26 January 2011

Persahabatan 4 Penjuru

Perlawanan Bola Sepak 4 Penjuru telah berlangsung semalam di padang SKTDN. Empat buah pasukan telah tampil dengan pasukan masing-masing sebagai persediaan ke kejohanan bola sepak Program Akar Umbi Bola Sepak Negeri Sembilan pada hari Jumaat ini. Pasukan-pasukan tersebut adalah dari SK Rahang, SK Panchor, SK Sikamat dan SK taman Dusun Nyior.

Keempat-empat pasukan telah menunjukkan semangat yang tinggi bagi membina keyakinan pasukan untuk menghadapi kejohanan sebenar nanti

Pasukan SK Taman Dusun Nyior memenangi satu perlawanan dan tewas satu perlawanan melalui 2 perlawanan semalam. SKTDN memenangi perlawan pertama 1-0 bertemu SK Panchor namun tewas 1-2 dalam perlawanan kedua menentang SK Sikamat.

Diharap perlawanan persahabatan ini akan memberi peluang untuk Cikgu Zahini mengesan kelemahan dan kekuatan pasukan sebelum kejohanan yang sebenar yang tinggal 3 hari sahaja lagi.

Selamat Maju Jaya untuk pasukan SKTDN. SKTDN Boleh!!!!!




Ko-kurikulum Permainan

Aktiviti Ko-kurikulum permainan SKTDN sudah pun memasuki minggu ke-3. Setiap murid diwajibkan menyertai satu jenis permainan. Terdapat 6 jenis permainan iaitu bola sepak, bola jaring, bola baling, kriket, hoki dan catur.


Aktiviti ko-kurikulum ini dimasukkan di dalam jadual waktu rasmi sekolah iaitu pada hari Selasa untuk permainan dan Rabu untuk Persatuan matapelajaran atau Badan beruniform.


Pendedahan murid terhadap sukan permainan yang disertainya akan memberi lebih pengetahuan kepada murid tentang permainan tersebut. Ini selaras dengan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).


Pelaksanaan aktiviti ko-kurikulum di dalam jadual waktu sekolah ini telah dimulakan sejak tahun 2006 lagi.









22 January 2011

Gotong-royong

Bemula semalam (21 Januari 2011) dan hari ini, kerja-kerja menebang dahan-dahan pokok di tepi padang giat dijalankan. Kerja-kerja dilakukan oleh beberapa orang guru lelaki yang diketuai oleh GPK Koko serta beberapa orang pekerja lain.

Ini adalah sebagai persediaan padang SKTDN yang akan digunakan semasa Kejohanan Kriket MSSM 2011 pada bulan Mac nanti.

Syabas dan terima kasih kepada anda yang telah berkorban masa dan tenaga untuk kepentingan sekolah.





21 January 2011

ePelaporan PPD Seremban


Sila klik pautan di bawah untuk ke ePelaporan PPD Seremban:

18 January 2011

Astaka SKTDN




Kerja-kerja pembinaan astaka di padang SKTDN sedang giat dijalankan. Astaka ini diharap dapat menceriakan lagi padang SKTDN dan memberi kemudahan kepada warga sekolah dan masyarakat sekitarnya.

12 January 2011

Daulat Tuanku

KAP ubah gaya hidup anak-anak

SEREMBAN 9 Jan. – Kelas Agama Petang (KAP) kini menjadi corak pendidikan dinamik yang mampu merubah gaya hidup anak-anak untuk menjadi insan berketerampilan dan kuat asas agamanya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menghuraikan pencapaian KAP sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2005 lalu memberitahu, segala pandangan negatif terhadap program itu, kini sudah boleh ditepis.
“Sewaktu kerajaan negeri mula melaksanakan KAP, ramai ibu bapa yang resah, kononnya anak mereka tidak cukup rehat dan keputusan peperiksaan kertas aliran perdana akan merosot.
“Ada juga ibu bapa merungut kononnya anak mereka tidak dapat mengulangkaji pelajaran pada sebelah petang kerana adanya KAP ini.
“Hari ini, semua keresahan dan rungutan itu tiada lagi kerana terbukti walaupun ada KAP, pretasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di negeri ini terus meningkat dengan baik,” katanya di sini, hari ini.
Mohamad menjelaskan, selain itu kertas pendidikan Islam juga telah menunjukkan keputusan yang amat cemerlang dengan peratusan kelulusan meningkat dengan mendadak.
“Ketika ini seramai 44,211 pelajar beragama Islam sedang mengikuti KAP di seluruh negeri ini, di mana melibatkan 285 sekolah dengan 1,714 kelas digunakan.
“Apa yang membanggakan, sudah terdapat lapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang juga menyediakan KAP bagi pelajar sekolah mereka yang ramai beragama Islam,” ujarnya.
Katanya, hasil daripada KAP ini juga, pada tahun lalu lebih 6,000 murid Tahun 6 seluruh negeri ini telah menyertai majlis khatam al-Quran beramai-ramai yang berlangsung di Stadium Tertutup Nilai, dekat sini.
“Dengan sambutan yang baik, kerajaan negeri juga sedang meneliti permohonan beberapa SJKC terutamanya di Jelebu, Jempol, Kuala Pilah dan Rembau yang turut mahu membuka KAP selepas mereka mendapat persefahaman antara pihak sekolah dan ibu bapa pelajar,” ujar Mohamad.
Mohamad yang berpuas hati dengan prestasi KAP itu, mahu ibu bapa sentiasa memikirkan aspek positif melalui program ini, di mana bukan sahaja bertujuan meningkatkan fahaman agama anak-anak mereka, sebaliknya membentuk sahsiah diri yang baik.
“Hasrat untuk merealisasikan pengurangan masalah sosial remaja telah dapat diterjemahkan melalui KAP ini kerana silibus yang dilaksanakan bukan sahaja berkaitan subjek keagamaan, tetapi meliputi pendidikan moral.
“Kita mahu anak sekecil sekolah rendah ini diberikan didikan agama dari awal supaya asas agama itu diperkukuhkan untuk membolehkan mereka memasuki alam masyarakat dengan lebih bersedia dan tidak terus hanyut dibelai keseronokan hidup semata-mata,” ujarnya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri serius menimbangkan cadangan ibu bapa supaya KAP ini diterap ke peringkat sekolah menengah.
”Kalau kita mulakan sekali pun, ia akan melibatkan sekolah asrama terpilih terlebih dahulu dan silibusnya juga akan dikaji semula, sesuai dengan jiwa remaja itu sendiri,” tegas Mohamad.
Mengenai sekolah agama bantuan kerajaan, Mohamad berkata, daripada 19 buah sekolah yang diuruskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), sebanyak 16 buah telah diuruskan melalui perkongsian pintar dengan Kementerian Pelajaran.
”Ini bagi membolehkan perubahan dilakukan dari segi tenaga pengajar, kemudahan blok sekolah, pengurusan dan sebagainya yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pelajaran.
”Kesannya, pada Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lalu, prestasi pelajar sekolah agama bantuan kerajaan ini, menunjukkan peningkatan positif, kecuali subjek bahasa Arab yang perlu dipertingkatkan lagi,” katanya.
N9kini.com, 10 Januari 2011

Gesa tangguh guna e-Kasih pilih murid miskin penerima bantuan

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran digesa menangguhkan penggunaan data daripada sistem e-Kasih untuk memilih murid miskin yang layak mendapat bantuan di bawah skim Program Rancangan Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) di sekolah luar bandar dan pedalaman khususnya di Sabah.


Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Jamawi Jaafar berkata, penggunaan sistem e-Kasih menyebabkan berlaku keciciran dan hanya sejumlah kecil murid yang layak menerima bantuan RMTS berbanding dengan kaedah pemilihan sebelum ini berpandukan data dalam Sistem Maklumat Murid (SMM).


Menurut beliau, masalah ini timbul mungkin disebabkan proses penyelarasan dan pemilihan semula daripada SSM kepada sistem e-Kasih memakan masa sedangkan musim persekolahan telah bermula.


"Hampir semua sekolah khususnya di Tenom tidak dapat memulakan bantuan RMTS ini disebabkan murid yang layak berdasarkan sistem e-Kasih terlalu sedikit jumlahnya walhal masih ramai yang sewajarnya layak menerima jika menggunakan sistem SMM yang diamalkan sebelum ini," katanya yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tenom di sini baru-baru ini.


Beliau memberitahu, daripada 180 murid yang layak menerima RMTS di beberapa buah sekolah di daerah Tenom pada tahun lalu kini me-lalui sistem e-Kasih hanya sembilan pelajar sahaja yang layak menerimanya.


"Satu julat perbezaan yang tidak munasabah jika melihat kepada taraf kehidupan masyarakat luar bandar di daerah ini," jelasnya.


Malah, ujarnya, jika bilangan penerima RMTS melalui sistem e-kasih ini terlalu sedikit pasti tidak ada pembekal yang berminat untuk membekal ke sekolah yang jauh di pedalaman kerana harga yang ditawarkan hanya RM2.05 untuk seorang murid.


"Ia tidak praktikal dan melibatkan kos yang tinggi," katanya.


Justeru, Jamawi menyarankan, SMM digunakan semula untuk memilih murid yang layak menerima bantuan RMTS bukan sahaja di Sabah malah di seluruh negara kerana ia lebih tepat dan lengkap serta terbukti tidak menimbulkan sebarang masalah. Langkah sementara ini wajar dilaksanakan untuk membolehkan sistem e-Kasih dikemas kini.


e-Kasih merupakan pangkalan data utama yang mengumpulkan golongan miskin dan miskin tegar sama ada di bandar atau luar bandar di negara ini.


Kementerian Pelajaran menggunakan e-Kasih untuk program membantu golongan tersebut seperti RMTS, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan Bantuan Pakaian Seragam Pasukan Badan Beruniform.


Utusan Malaysia Online, 10 Januari 2011

07 January 2011

Sekitar Hari Pendaftaran & Orientasi Tahun 1



Murid-murid Tahun 1 berbaris semasa pendaftaran.









Ucapan oleh Pn Noreha Adam, Guru Besar SK taman Dusun Nyior.